sejarah

BELASUNGKAWA



Rasanya macam dah penat menempel kt facebook. La ni mai blog sje nak corat-coret. Hari ni tadak apa yg menarik untuk dicerita. so, retyping cerpen larh. Penulisan ni adalah cerpen pendek PERTAMA aku karang untuk majalah sekolah time muda belia dulu. Cerita ni dikarang drpd kisah benar hidup aku. Rasanya usia cerpen ni dah hampir 4 tahun.. Kalau tak sedap dibaca takpe la.. bahasa budak-budak.     

Kring...kring.... loceng sekolah kedengaran. Dengan pantas aku mencapai beg dan segera meluru keluar meninggalkan kelas 5 Amanah yang baru beberapa minggu aku duduki. Keriuhan dan pekikan suara para pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir ku tinggalkan perlahan-lahan. Hampir tiga minit aku berjalan, kakiku terhenti di pondok bas berhadapan bangunan dewan yang gah berdiri bersebelahan sekolahku. Dalam leka menunggu bas, fikiranku melayang sejenak mengingat wajah ayah dan ibu yang sudah hampir dua bulan tidak aku tatapi. Terfikir aku, bagaimanakah mereka? Bermacam-macam persoalan timbul di minda kecilku. Namun herdikan seorang pelajar India melenyapkan semua persoalan itu. Terlihat bas awam MOS Muar-Kundang Ulu berhenti di hadapanku.

     Sepuluh minit perjalanan, akhirnya aku tiba ke destinasi. Dengan tenang aku memberi salam, masuk dan segera menerpa ibu yang ketika itu masih berada di sisi datukku yang sedang tenat. Sebenarnya ayah dan ibu baru sahaja selamat sampai ke tanah air pagi tadi, selepas selesai menunaikan ibadat haji. Ketika dalam dakapan emak, dapat aku rasakan kasih yang sudah lama tidak menyelimuti susuk tubuhku. Kemudian, aku mendekati ayah lantas bersalam dan memeluk erat ke tubuhnya yang kelihatan agak susut akibat kurang berselera makan ketika berada di sana. Tampa aku sedari, air mataku membasahi pipi. Tiada kata yang dapat aku ungkaikan, untuk mengambarkan kegembiraanku ketika itu walaupun masih berduka di atas keadaan datukku.

     Dua puluh dua hari sebelum ayah dan ibu berangkat ke Tanah Suci, bermulalah kisah duka keluargaku. Tanggal 24 November 2006 bersamaan ulang tahun kelahiran sepupu lelakiku yang ke-12, ibu saudaraku Soleha pulang ke rahmatullah. Berita pemergian ibu saudaraku yang meninggalkan seorang suami dan tiga orang anak ini, bagaikan panahan petir di lubuk hati kami kerana beliaulah yang telah meringankan tanggungjawab ibu, ayah dan semua saudara-mara dalam memjaga kebajikan nenek yang diserang angin ahmar sejak tahun 1999. Sementelah datuk semakin uzur sejak akhir-akhir ini.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Situasi inilah yang menggambarkan realiti sebenar yang telah menimpa kami sekeluarga. Mendung sedih belum berlalu, 2 Februari 2007, dua hari selepas kepulangan ayah dan ibu  dari Tanah Suci, datuk kesayanganku Salleh menyusuli pemergian puteri sulungnya, Soleha. Kesedihan.. menjengah dalam realiti kehidupan kami. Bagai satu episod drama yang pernah kutonton di televisyen. Tuhanku, berikalah kami ketabahan. Berikan juga kekuatan. Kami redha di atas ketentuan qada' dan qadarMu.

       Selama seminggu lamanya aku tidak dapat tidur lena disebabkan asyik teringat akan kenangan bersama arwa. Sepanjang itu jugalah nenekku bermandi air mata apabila terkenang akan arwah suami dan puteri sulungnya yang telah pergi dahulu meninggalkannya.

     Bagai ada suatu perasaan yang sangat indah yang tidak dapat aku sirna dari sanubariku. Dua hari selepas kematiaan datukku, dengan ketentuan Allah SWT aku telah bertemu dengan arwah datuk dan ibu saudaraku di dalam mimpi berlatarkan sebuah taman yang tidak dapat aku pastikan di mana lokasi sebenarnya. Tatkala itu, aku melihat kedua-dua mereka sedang asyik memerhatikan aku dan sepupu-sepupuku yang leka bermain. Menyedari itu, aku lantas mendekati namun mereka hanya duduk membeku tanpa sebarang kata. Walaubagaimanapun, aku tetap bersyukur kerana diberikan peluang bertemu mereka walau hanya di dalam mimpi yang singkat. Ya Allah, Kau tempatkanlah mereka di tempat-tempat orang-orang yang Kau redhai, Amin...

     Berpantang ajal sebelum maut, tiada siapa yang dapat menduga sesuatu yang bakal terjadi. Semuanya telah diatur dan kekal menjadi rahsia-Nya. 51 hari menanggung kesedihan yang bertalu-talu menghujani keluargaku. Kali ini, sekali lagi kami terpaksa menerima caturan hidup kehendak yang Maha Esa. 7.30malam, 19 Mac 2007. Sedang kami bersiap untuk menunaikan solat maghrib di rumah, deringan telefon yang berkumandang merentap hati kami. Kali ini, sekali lagi kami menerima ujian Ilahi. Ketika kami tiba di rumah nenek, sekujur tubuh nenek, tenang menghadap Ya Rabbul Alamin. 

     Pemergian nenek ini merobek sekelumit hati kami yang kian terhakis akibat kesediah yang amat dalam. Hampir tujuh tahun nenek tidak dapat berjalan dan bercakap akibat serangan penyakitnya yang telah cukup memusnahkan semangat hati tuanya. Namun kekuatan dan ketabahan menerima ketentuan yang telah tersurat untuknya amat menginsafkan kami sekeluarga. Nenek juga kelihatan sihat dan sentiasa cergas walaupun tidak mampu berjalan. Namun Allah lebih menyanyanginya. Tidak kami sangka gelak tawanya semalam adalah yang terakhir bagi kamu semua. Sepanjang hayatnya, walaupun tidak mampu berkata-kata, kasih sayang dan kemesraan nenek kepada kesemua anak dan cucunya tidak pernah berubah.

     Hari ini genap sebulan pemergian nenek dan aku masih terasa tempias kesedihannya. Namun, segala ketentuan ini aku terima sebagai qada' dan qadarNya. Aku sepatutnya berasa bersyukur kerana keluargaku masih bersatu walaupun tanpa kehadiran orang yang amat kami kasihi. Semua lumrah kehidupan ini telah membantu aku mejadi lebih dewasa dan aku kini sedang memahami erti hidup yang sebenar. Bak kata pepatah, hari tidak selalunya cerah, sesekala hujan di tengahari. Oleh itu, hargailah setiap saat yang kita lalui kerana tiada siapa kan mengetahui apa yang bakal terjadi sesaat lagi.

Your Angel


Life Is Not A Matter Of Milestones, But Of Moments !


No comments: